Intro

Shoutbox

Tuesday, July 15, 2008

Ismail juara catur polis dunia



Itulah tajuk berita dalam Utusan Malaysia hari ini di halaman polis dan tentera,
artikel itu ditulis oleh:Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK (saiful.sahak@utusan.com.my),
ikutilah kisah selanjutnya:
Tugas sebagai pegawai dan anggota polis memang sering dihambat masa menyebabkan mereka mengurangkan atau melupakan terus aktiviti masa lapang yang seiring dilakukan sebelum menyertai pasukan itu.

Jika sebelum menjadi polis bermain bola sepak, mendaki gunung, bermain badminton, catur, dam dan sebagainya merupakan rutin harian atau pada hujung minggu.

Tetapi setelah melangkahkan kaki ke dalam pasukan pasukan beruniform biru, semua terpaksa dilupakan buat sementara.

Namun begitu, menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah satu pengakhiran kepada semua aktiviti tersebut.

Walaupun masa sering mencemburui mereka, namun bagi sesetengah individu yang sudah lama melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti itu, masa yang terhad digunakan sebaik mungkin.

Bagi mereka, ia seperti nadi dan tidak lengkap hidup jika mereka tidak melakukannya.

Bagi segelintir individu yang tidak mahu menyertai PDRM kerana menganggap ia penghalang kepada minat mereka, buang jauh-jauh pemikiran itu.

Walaupun hakikatnya, pasukan polis tidak pernah menghalang malah memberi sokongan penuh kepada kakitangannya yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan riadah.

Ini dapat dibuktikan dengan penglibatan pasukan PDRM dalam pelbagai kejohanan sukan di dalam dan luar negara.

Peluang itu digunakan sebaik mungkin. Kesibukan tugas seharian tidak pernah menghalang mereka melakar kejayaan cemerlang dalam aktiviti yang diceburi.

Bagi, Sarjan Ismail Ahmad, 44, sepanjang menceburi bidang kepolisan ini, PDRM tidak pernah menghalang minatnya untuk melibatkan diri dalam arena sukan dan rekreasi.

Malah beliau sendiri juga tidak sedar, terdapat banyak kemudahan dan usaha menonjolkan bakat dalam kerjaya kepolisan, salah satunya permainan catur.

Hasil sokongan PDRM itulah, kini hampir 23 tahun beliau menyertai permainan catur dan telah memenangi pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara.

Menyingkap penglibatan awal dirinya dalam permainan itu, beliau mempunyai cerita tersendiri.

Menurut Ismail, beliau mula berkecimpung dengan permainan catur apabila didorong dengan perasan bosan ketika bersendirian.

Katanya, bagi menghilang perasaan itu, beliau sering bermain dengan rakan-rakan pada waktu lapang.

“Dan setiap kali saya bermain kemenangan selalu memihak kepada saya dari situ timbul minat untuk melibatkan secara aktif dalam permainan ini,” jelasnya.

Menurut Ismail lagi, beliau gembira sekali kerana selain layak menjadi polis, cita-cita untuk mengasah bakat dalam permainan catur diimpikan selama ini tercapai.

Bermula dari situ, beliau yang bertugas di Bahagian Latihan, Batalion 4, Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), sentiasa menghabiskan masa dalam membaca buku-buku dan melayari Internet yang ditulis oleh para Grand Master catur dunia.

Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit akhirnya dibayar nilai setimpal apabila Ismail banyak memenangi banyak pertandingan dan kejohanan yang disertainya.

Antaranya ialah Terbuka Indonesia 1997, Chess Olimpiad Elista 1998, Individu Jonal Tehran 1998, Juara Master Melayu 1999, Chess Olimpiad Turki 2000, Naib Johan Kebangsaan 2001 dan Terbuka Asian-Brunei.

Beliau juga meraih kemenangan di Chess Olimpiad Slovenia 2002, Sukan SEA 2003, Juara Selangor, Juara Team Merdeka, Juara Dunia Polis di Sepanyol 2003, juara dua kejohanan di Amerika Syarikat pada 2004.

Berdasarkan kejayaan dan pengalaman luar itu, pemilihannya sebagai jurulatih pasukan catur Malaysia pada Sukan SEA 2005 di Filipina adalah pilihan yang tepat.

Kemuncaknya Ismail menjuarai Pertandingan Terbuka Catur Sedunia Angkatan Tentera Amerika Syarikat pada tahun 2004 yang melibatkan pasukan beruniform dari seluruh dunia.

Pengiktirafan itu turut menaikkan nama PDRM bahawa para anggotanya bukan sahaja siap sedia mengawal keselamatan malah masih mampu mengharumkan nama negara.

Katanya, kemenangan itu mengejutkan negara-negara lain apabila pasukan catur elit PDRM Malaysia menang dalam pertandingan tersebut dan di luar jangkaannya sama sekali.

“Saya berjaya mengharumkan nama PDRM dan negara ini di peringkat antarabangsa, memang sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Kejayaan dan pengalaman itu merupakan kenangan manis bagi saya,” ujarnya.

Lebih membanggakan Ismail apabila sepanjang penglibatan dalam permainan catur ini beliau berjaya menewaskan pemain-pemain catur terkemuka dunia.

Di atas kejayaan itu, Ismail dianugerahkan Pingat Darjah Bentara Pasukan (BPP) Polis daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2004.

Menurut Ismail selaku pemain catur PDRM, walaupun kesuntukan masa berlatih, namun masa terluang beliau gunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan mutu permainan.

“Saya bersyukur pengorbanan itu membuahkan hasil di luar jangkaan saya sendiri,” kata Ismail yang pernah menjuarai Kejohanan Catur Polis Dunia 2003 di Sepanyol.

Ismail yang sebelum ini pernah kini mengikuti Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak Kuala Lumpur berkata, untuk menjadi pemain catur yang hebat soal disiplin perlu ditekankan.

“Disiplin yang baik akan menentukan hebatnya seseorang pemain dalam sukan ini.

“Malah minat yang mendalam terhadap sukan ini merupakan pendorong dan aset pada setiap kejayaan yang diperoleh,” terangnya.

Kata Ismail, beliau amat bertuah kerana pihak pengurusan PDRM amat memahami dan sentiasa memberi kelonggaran kepada dirinya jika ada sebarang pertandingan yang disertai.

Ismail berkahwin dengan Halimah Ahmad, 44, dan dikurniakan empat orang cahaya mata.


0 comments: